Sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Yassin pada 1 Mei lalu, pengecualian pergerakan rentas sempadan negeri menggunakan aplikasi mudah alih "Gerak Malaysia" hanya dibenarkan kepada dua kategori individu sahaja iaitu:
1. Orang ramai yang terkandas di kampung atau tempat-tempat lain untuk pulang semula ke rumah masing-masing, dan
2. Bagi mereka yang hendak kembali ke tempat kerja sahaja.
Aplikasi dalam talian yang dinamakan "Gerak Malaysia" telah dibangunkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bermula 25 April lalu.
Orang ramai dinasihatkan memuat turun aplikasi terkini "Gerak Malaysia" versi 2.0 di Play Store bagi pengguna Android dan App Store bagi pengguna iOS.
Manakala bagi orang ramai yang tiada kemudahan telefon pintar pula, anda dikehendaki untuk:
1. Memuat turun borang "Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)" di Media Sosial Rasmi PDRM,
2. Mengisi borang tersebut dengan lengkap dalam dua (2) salinan,
3. Menghubungi balai polis berhampiran bagi tujuan temu janji untuk penyerahan borang, dan
4. Menghantar dua (2) borang yang telah lengkap di balai polis untuk proses kelulusan.
Bagi mana-mana individu yang langsung tidak mempunyai kemudahan telefon pintar atau rangkaian internet pula, mereka dikehendaki menelefon mana-mana Balai Polis terdekat untuk membuat temu janji bagi mengisi borang "Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)" yang telah disediakan.
Orang ramai yang telah mendapat kelulusan boleh membuat pergerakan masing-masing seperti ketetapan berikut:
a. Pergerakan untuk pulang dari Kuala Lumpur adalah pada 7 Mei 2020 (Khamis),
b. Pergerakan untuk pulang dari Perak, Johor dan Kelantan adalah pada 8 Mei 2020 (Jumaat),
c. Pergerakan untuk pulang dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang adalah pada 9 Mei 2020 (Sabtu), dan
d. Pergerakan untuk pulang dari Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu adalah pada 10 Mei 2020 (Ahad).
Perlu diingatkan bahawa pergerakan untuk pulang ke kediaman masing-masing ini dilakukan pada hari yang telah ditetapkan sahaja.
Borang "Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)" boleh dimuat turun menerusi imej di bawah.
#StayHome #BeSafe #Pray4Malaysia HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN
(Sumber : Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ) )