ASAL USUL NAMA KAMPUNG SUNGAI LIMAU

 

Kesan-kesan penerokaan telah ditemui pada awal tahun 20an oleh sekumpulan orang-orang Melayu. Datangnya kumpulan peneroka dari Wilayah Pacitan, Jawa Timur Indonesia yang dketuai oleh Almarhum Haji Hashim Bin Ronosentono untuk membawa kawasan tanaman kelapa. Kumpulan ini adalah sebahagian dari kumpulan yang membuka Sungai Air Tawar.

 

Pada awal tahun 30an mereka telah meluaskan penerokaan untuk tanaman padi. Kesuaian tanah untuk tanaman kelapa dan padi telah mendorong kumpulan ini membina penempatan serta membina kemudahan awam seperti masjid dan sekolah rakyat bergotong-royong.

 

Sewaktu diterokai terdapat sebatang anak sungai bercabang lima dikampung ini. Di kawasan muara anak sungai tersebut terdapat sebuah kawasan tanah berpasir yang agak tinggi atau matang. Keadaan matang tersebut sangat semak dan menggerunkan serta didiami oleh sekumpulan harimau belang. 

 

Juga terdapat beberapa pokok limau yang hidup subur di sepanjang sungai tersebut. Maka terdapat tiga versi mengenai asal usul Sungai Limau itu.

 

VERSI 1

Berdasarkan beberapa pokok limau yang ada ditepi sungai tersebut

 

VERSI 2

Masyarakat cina yang menjadi nelayan pada masa itu selalu mengingatkan mereka yang ingin singgah ke kawasan tersebut dengan loghat pelat cina "Atak Li'mau" yang bermaksud ada harimau. Maka nama Sungai Limau diperolehi dari perkataan Li'mau yang bermaksud harimau.

 

VERSI 3

Berdasarkan lima cabang anak sungai. Lima dalam bahasa jawa disebut limo. Maka nama Sungai Limau diambil dari perkataan limo tersebut 

 

 

Kampung yang berkeluasan tiga km persegi ini mempunyai tiga penempatan utama iaitu di tepi laut, kawasan tanaman kelapa sawit dan padi dan terdapat tujuh kariah iaitu

Parit 1 Timur, Jalan Sungai Panjang

Simpang Tiga Loji

Tebuk Rasidin

Kariah Haji Ramli

Kariah Haji Yatimi Niti

Batu 8

Tebuk Haji Yusuf 


Kampung ini dahulunya dikelilingi hutan tebal dan penduduk terpaksa menebang pokok hanya menggunakan tulang empat kerat dengan menggunakan peralatan manual untuk membuka penempatan disini. Apabila sudah wujud perkampungan, mereka kemudiannya bergotong-royong membina masjid sebagai tempat ibadah yang masih kekal sehingga kini dan ia dibina dengan menggunakan kayu yang ditebang dari Hutan Parit 4 Ban Kanal.

Selepas kayu hutan ditebang, mereka mengangkut kayu menggunakan perahu melalui terusan sedia ada untuk sampai ke parit berhampiran masjid.